Showing posts with label sifat Allah. Show all posts
Showing posts with label sifat Allah. Show all posts

Thursday, 18 July 2013

Sifat Allah Kedua QIDAM

MENGENAL SIFAT-SIFAT ALLAH TAALA



Kedua : QIDAM

Ertinya : Sedia. Yang dimaksudkan dengan sedia di sini, sedia yang zati dengan erti ketiadaan permulaan ada Allah Taala itu dan bukan dimaksudkan dengan sedia Allah Taala itu, sebagai sedia yang Zamani (lama masa) seperti benda yang sudah reput dan berlalu zaman berzaman dan bukan juga dimaksudkan dengan sedia Idhofi (iaitu seperti dahulu tanpa bapa sebelum anaknya) bahkan ada Allah Taala itu tiada didahulu oleh tiada, dan mustahil lawannya iaitu baharu.

            Dalil Akal. Jika Allah Taala baharu nescaya berhajat pula kepada yang membahrukan Dia, ini sudah tentu mustahil kerana membawa Dur (berpusing-pusing), umpamanya Tuhan yang pertama menjadikan Tuhan yang kedua, Tuhan yang kedua menjadikan Tuhan yang ketiga dan Tuhan yang ketiga menjadikan Tuhan yang pertama pula, seperti Yusoff menjadikan Umar, Umar menjadikan Bakar dan Bakar menjadikan Yusoff pula, keadaan seperti ini yang dikatakan Dur, seperti rantai jala atau membawa kepada tasalsul (tiada berkesudahan), umpamanya Tuhan yang pertama menjadikan Tuhan yang kedua, Tuhan yang kedua menjadi Tuhan yang ketiga hingga seterusnya dengan tiada penghabisan, maka Dur dan Tasalsul ini mustahil atas Allah Taala, dengan demikian tidak diterima akal baharu Allah Taala itu. Bila begitu wajiblah sedia

Dalil Naqli. Firman Allah Taala:

“Dialah Yang Awal dan Yang Akhir”
(Surah Al-Hadiid: Ayat 3)

            Dan sifat Qidam itu termasuk kesempurnaan bagi sifat WUJUD Allah Taala. Ertinya WUJUD yang paling sempurna ialah WUJUD yang tidak memakai permulaan. Jadi Allah Taala itu Qidimun (Zat yang dahulu)


Sumber : Noraine Abu (1999), Sifat 20; Ke Arah Memahami Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. (m.s 31-32). Pustaka Ilmi.

Sifat Allah Pertama WUJUD

MENGENAL SIFAT-SIFAT ALLAH TAALA

Pertama : WUJUD

Ertinya : ADA. Yang dimaksudkan dengan ada di sini ialah ada yang Zati, yakni ada yang sebenar-benarnya. Dengan kata lain terkeluar daripada ada yang Aradh (ada sebelumnya tiada). Atau ada yang Majazi (ada pinjam-pinjaman seperti ada bayang dengan benda). Dengan erti ada Allah Taala itu bukan ada yang menjadikan-Nya dan bukan Ia menjadikan diri-Nya sendiri da nada-Nya tidak berubah, tidak mati, tidak hilang dan ada-Nya tidak didahului dengan tiada dan ad-Nya tidak diakhiri dengan tiada, dan mustahil lawannya, iaitu tiada.

            Dalil Akal. Sekiranya Allah Taala tidak ada tentu dunia inipun tidak ada, sebab Allah Taala-lah yang menjadi pangkal adanya segala yang ada.

            Adanya Allah Taala itu mutlak tidak terbatas oleh sesuatu yakni tidak dibatasi oleh waktu keadaan mahupun tempat. Dan dalam terjadinya bumi dan langit dan segala apa yang ada di dunia ini menunjukkan adanya Allah Taala. Mustahil dia akan jadi dengan sendirinya, taiada memakai sebab. Kerana semuanya itu adalah benda yang baharu yang asalnya tidak ada kemudian ada.

            Manusia, malaikat tidak dapat membuat dunia dan tidak dapat membuat dirinya sendiri. Maka Allah Taala-lah yang menjadikan semuanya itu. Dari itu Allah Taala wajib ada. Allah Taala-lah yang menjadi pangkal adanya semua alam ini. Andaikata Allah Taala tidak ada nescaya dunia ini menjadi bukti adanya Allah Taala. Sebagaiman orang berkata adanya rumah, menunjukkan adanya tukang membuat rumah. Mustahil kalau ia ada dengan tidak ada yang mengadakannya.

Dalil Naqli. Firman Allah Taala :

“(Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.”
(Surah Taha: Ayat 4)

Maksudnya:
“Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya”
(Surah Al-Furqan: Ayat 365)


Sumber : Noraine Abu (1999), Sifat 20; Ke Arah Memahami Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. (m.s 29-30). Pustaka Ilmi.