MENGENAL SIFAT-SIFAT ALLAH TAALA
Kedua : QIDAM
Ertinya : Sedia.
Yang dimaksudkan dengan sedia di sini, sedia yang zati dengan erti ketiadaan
permulaan ada Allah Taala itu dan bukan dimaksudkan dengan sedia Allah Taala
itu, sebagai sedia yang Zamani (lama masa) seperti benda yang sudah reput dan
berlalu zaman berzaman dan bukan juga dimaksudkan dengan sedia Idhofi (iaitu
seperti dahulu tanpa bapa sebelum anaknya) bahkan ada Allah Taala itu tiada
didahulu oleh tiada, dan mustahil lawannya iaitu baharu.
Dalil Akal. Jika Allah Taala baharu
nescaya berhajat pula kepada yang membahrukan Dia, ini sudah tentu mustahil
kerana membawa Dur (berpusing-pusing), umpamanya Tuhan yang pertama menjadikan
Tuhan yang kedua, Tuhan yang kedua menjadikan Tuhan yang ketiga dan Tuhan yang
ketiga menjadikan Tuhan yang pertama pula, seperti Yusoff menjadikan Umar, Umar
menjadikan Bakar dan Bakar menjadikan Yusoff pula, keadaan seperti ini yang
dikatakan Dur, seperti rantai jala atau membawa kepada tasalsul (tiada
berkesudahan), umpamanya Tuhan yang pertama menjadikan Tuhan yang kedua, Tuhan
yang kedua menjadi Tuhan yang ketiga hingga seterusnya dengan tiada
penghabisan, maka Dur dan Tasalsul ini mustahil atas Allah Taala, dengan
demikian tidak diterima akal baharu Allah Taala itu. Bila begitu wajiblah sedia
Dalil Naqli. Firman Allah Taala:
“Dialah
Yang Awal dan Yang Akhir”
(Surah Al-Hadiid:
Ayat 3)
Dan sifat Qidam itu termasuk
kesempurnaan bagi sifat WUJUD Allah Taala. Ertinya WUJUD
yang paling sempurna ialah WUJUD yang tidak memakai permulaan.
Jadi Allah Taala itu Qidimun (Zat yang dahulu)
Sumber
: Noraine Abu (1999), Sifat 20; Ke Arah Memahami Aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah.
(m.s 31-32). Pustaka Ilmi.
No comments:
Post a Comment