Monday, 5 August 2013

Sifat ALLAH ke lima : QIAMUHU TAALA BINAFSIHI



Ertinya : BERDIRI ALLAH TAALA DENGAN SENDIRI. Dan tidak dimaksudkan di sini tegak pendirian-Nya atau bangun berdiri dengan sendiri tidak ada orang yang mengangkat dan menolong-Nya sebagaimana yang kita sedia faham. Tetapi berdiri Allah Taala dengan sendiri itu tiada berkehendak dengan zat yang lain atau kepada menjadikan-Nya. Difaham dengan kata bahawa Allah Taala tidak berkehendak kepada zat kerana Allah Taala itu sendiri adalah zat, dan bukan Allah Taala itu sifat. Yang mana menurut kaedah sifat itu tidak boleh berdiri dengan sendiri melainkan menumpang pada zat sama ada sifat QADIM atau sifat baharu, seperti menumpang warna pada zat kain. Tetapi tiada boleh dikatakan bahawa sifat Allah Taala itu berkehendak kepada zat, kerana boleh memberi waham bahawa baharu pula sifat Allah Taala itu. Maha suci Allah Taala daripada bandingan dengan sesuatu. Tetapi hendaklah diiktiqad dihati bahawa zat Allah Taala itu bersifat dengan segala kesempurnaan dan tidak berhajat Allah Taala kepada sekalian makhluk. Sebaliknya sekalian makhluk ini berhajat kepada-Nya.

Adapun erti tiada berkehendak Allah Taala kepada yang menjadikan Dia iaitu memestikan Allah Taala itu QADIM bukannya baharu. Kerana yang berkehendak kepada yang menjadikannya ialah sekalian yang baharu ini.

Mustahil lawan bagi sifat berdiri dengan sendirinya ini ialah berkehendak kepada zat atau kepada yang menjadikan.

Dalil Akal. Jika Allah Taala itu tidak berdiri dengan sendiri sudah tentu Allah Taala berkehendak kepada zat, nescaya Allah Taala itu sifat, dan ini tidak diterima akal. Kerana jika Allah Taala itu sifat sudah tentu tidak bersifat dengan sekalian sifat. Bandingannya ialah penglibatan kita tiada boleh menumpang penglihatan bahkan menumpang pada zat iaitu mata. Maha Suci Allah Taala menumpang seperti ini. Sebaliknya Allah Taala tidak berkehendak kepada zat dan tidak berkehndak kepada yang menjadikan Dia.

Dalil Naqli. Firman Allah Taala:

“Allah kaya (tidak menghajatkan pertolongan orang lain) dan kamu miskin”
(Surah Muhammad: Ayat 38)

“Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekalian makhluk”

(Surah Al-Ankabut: Ayat 6)

No comments:

Post a Comment