Sunday, 21 July 2013

Sifat Allah Keempat : MUKHALAFATUHU TAALA LILHAWADIS

Ertinya:  BERSAHAN ALLAH TAALA DENGAN SEKALIAN YANG BAHARU. Dengan erti ketiadaan persamaan Allah Taala dengan yang baharu kerana segala yang baharu mempunyai sifat-sifat ini, iaitu Jauhar, Aradh, Jirim, Jaz’iyah, Jisim, berpihak dan bermasa.

a.       Pengertian Jauhar
Iaitu suatu perkara yang halus yang tidak boleh dikerat dan dibelah seperti angina, ruh dan sebagainya

b.      Pengertian Aradah
Iaitu sifat makhluk yang baharu seperti besar, kecil, putih, hitam dan lain-lain. Maka tiap-tiap sifat tidak boleh berdiri dengan sendiri melainkan menumpang pada zat sesuatu seperti warna yang tidak boleh berdiri sendiri melainkan menumpang pada zat lain

c.       Pengertian Juz’iyah
Iaitu sesuatu yang berhubung-hubung seperti kaki/tangan, urat/daging dan sebagainya.

d.      Pengertian Jirim
Iaitu sesuatu yang memerlukan ruang sekadar untuknya, sama ada bersusun yang boleh dikerat dan dibahagi atau yang tiada bersusun seperti angin dan sebagainya

e.       Pengertian Jisim
Iaitu sesuatu perkara yang boleh dikerat, dibelah dan dibahagi seperti kayu, batu, tubuh dan sebagainya

f.       Pengertian Berpihak
Iaitu sesuatu perkara yang mempunyai hadapan, belakang, kri, kanan dan sebagainya.

g.       Pengertian Bermasa
Iaitu seperti siang, malam, pagi, petang dan sebagainya, Dengan erti Allah tidak tertakluk dengan masa seperti ini.

Maka Allah Taala bersalahan dengan segala yang disebut ini, sama ada pada zat, pada sifat dan pada perbuatan-Nya. Ertinya tiada zat sesuatu dari makhluk ini serupa dengan zat Allah Taala. Kerana zat Allah Taala itu bukan dari jenis Nur (cahaya) dan bukan dari jenis Zulmat (gelap) dan bukan pula dari jenis langit dan bumi dan bukan dari jenis antara langit dan bumi. Juga tiada sifat sesuatu daripada makhluk ini serupa dengan  sifat Allah Taala kerana sifat Allah Taala itu sedia bagi kekal.

Juga tiada perbuatan sesuatu daripada makhluk ini serupa dengan perbuatan Allah Taala kerana perbuatan makhluk tiada memberi bekas, hanya usaha sahaja. Adapun perbuatan Allah Taala itu ialah perbuatan yang memberi bekas dengan mengadakan makhluk dan mentiadakannya dengan tiada menggunakan alat dan pembantu. Maka apabila diberi was-was atau khayalan oleh Syaitan di hati engkau – apabila Allah Taala itu tidak berjirim dan tidak Aradh maka bagaimanakah hakikat-Nya. Katakanlah olehmu untuk menghilang daripada was-was, tiada diketahui hakikat-Nya melainkan Allah Taala jua.

Sekiranya datang dalam Al-Quran atau Al-Hadis yang memberi waham menyerupai Allah Taala dengan yang baharu, mengikut Mazhab Salaf diserahkan ayat itu kepada Allah Taala. Adapun Mazhab Khalaf ditakwilkan dia iaitu seperti firman Allah Taala:

“Iaitu (Allah) Ar-Rahman yang bersemayam di atas Arasyi”
(Surah Taha: Ayat 5)

Maka zahir ayat ini Allah Taala berpihak iaitu tertinggi di Arasy. Mengikut Mazhab Khalaf yang dimaksudkan dengan tertinggi itu iatu memerintah dan memiliki Arasy. Sebaliknya mengikut Mazhab Salaf tidak ditakwilkan lagi bahkan diserahkan maksud ayat itu kepada Allah Taala.

Mustahil lawan bagi sifat MUKHALAFAH iaitu menyerupai dengan sesuatu daripada makhluk ini.

Dalil Akal. Jika menyerupai Allah Taala dengan sesuatu yang baharu maka sudah tentu Allah Taala juga baharu. Yang demikian itu mustahil kerana telah tetap sedia dengan dalil yang telah lalu. Maka tetaplah bersalahan.

Dalil Naqli. Firman Allah Taala:

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran)-Nya”
(Surah Asy-Syura: Ayat 11)

Nyatalah bahawa makhluk itu bukan Tuhan dan Tuhan berbeda dengan makhluk. Jadi Allah Taala itu Mukhalifun lil hawadits.

No comments:

Post a Comment